Agensi

TOKYO: Sebuah zoo di Jepun menjadi popular di Internet selepas satu video lucu yang menunjukkan petugas membuat latihan menangkap singa terlepas tular di di media sosial.

Video latihan itu dirakam oleh sebuah stesen televisyen tempatan di Zoo Tobe dan segera tular kerana cara latihan lucu yang digunakan.

Atas faktor keselamatan, pihak zoo tidak boleh menggunakan singa sebenar dalam latihan itu jadi seorang petugas diminta memakai kostum haiwan berkenaan.

Video berkenaan menunjukkan `singa’ itu berlegar-legar di sekitar zoo sebelum beberapa petugas yang memegang jaring cuba mengepung `haiwan’ itu supaya ia tidak lari jauh.


BEBERAPA ekor singa sebenar yang berada di dalam kandang. FOTO Agensi

Tiba-tiba `singa’ itu menerkam seorang petugas menyebabkan dia jatuh.

Seorang petugas yang menaiki kenderaan tiba dan berlakon seperti menembak ubat pelali pada `singa’ berkenaan menyebabkan ia pengsan.

Ketika petugas menunjukkan cara yang betul untuk mengalihkan `singa’ berkenaan, kamera kemudiannya merakam beberapa ekor singa sebenar di dalam kandang yang kelihatan tidak berpuas hati dengan apa yang dilihatnya.

Latihan itu sebenarnya diadakan pada setiap tahun untuk melatih petugas bagaimana untuk bertindak sekiranya singa terlepas sebagai contoh ketika gempa bumi.

Video berkenaan dikongsi di media sosial dan segera tular kerana ia orang ramai menganggap ia sangat lucu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:21 PM