DON Pramudwinai
AFP

BANGKOK: Negara ASEAN mampu melakukan bidaan secara bersama bagi menganjurkan Piala Dunia 2034 sekali gus menjadikannya yang pertama di rantau ini, kata Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai, hari ini.

AFP melaporkan, Jepun dan Korea Selatan menjadi dua negara Asia yang pernah menganjurkan acara sukan terbesar itu.

China dilihat menjadi negara berikutnya yang akan menganjurkan acara itu memandangkan ia mempunyai pasaran sukan yang besar, sumber dan kemudahan lengkap untuk acara terbabit.

Namun, 10 negara ASEAN yang berhimpun di Bangkok hari ini, berminat untuk mencapai hasrat itu.

“Sektor kerajaan merasakan ia boleh dilakukan...15 tahun dari sekarang,” kata Don selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya.

Jurucakap kementerian itu berkata, idea berkenaan akan dicadangkan kepada ketua negara anggota ASEAN sebelum sidang kemuncak berakhir esok.

Piala Dunia mula diperkenalkan pada 1930 dan sebanyak 17 negara sudah menganjurkan acara itu yang kebanyakan di Eropah dan Amerika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:28 PM