FAA mengeluarkan larangan itu selepas Iran menembak jatuh dron pengintip Amerika. FOTO hiasan
Agensi

DUBAI: Sebahagian syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines, KLM, Qantas, Lufthansa, British Airways, dan Qatar Airways melencongkan penerbangan mengelak melalui ruang udara dikawal Iran di Selat Hormuz dan Teluk Oman.

Reuters melaporkan, menurut syarikat penerbangan terbabit, langkah itu diambil selepas pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat mengeluarkan larangan terbang di kawasan terbabit.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA) mengeluarkan larangan itu selepas Iran menembak jatuh dron pengintip Amerika, kelmarin, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pesawat komersial.

“Ada sejumlah pesawat awam beroperasi di kawasan itu ketika dron berkenaan ditembak,” kata FAA.

Berdasarkan pengesan penerbangan, FAA menyatakan jarak pesawat awam paling dekat dari lokasi ketika dron pengintip itu ditembak ialah 72 kilometer.

Malaysia Airlines, Qantas Airways, Singapore Airlines, Lufthansa, British Airways dan KLM kemudiannya mengumumkan mereka melencongkan penerbangan bagi mengelak laluan itu.

Malaysia Airlines menyatakan syarikat itu mengelak ruang udara konflik yang sebelum ini digunakan untuk penerbangan antara Kuala Lumpur - London, Jeddah dan Madinah.

“Syarikat memberi perhatian serius keadaan di sana dan membuat penilaian berdasarkan pelbagai sumber, termasuk laporan keselamatan,” kata kenyataan syarikat itu.

Pesawat Malaysia Airlines, MH17, ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di ruang udara Ukraine pada 2014, membunuh 298 orang dan sejak tragedi itu, semua negara bergantung kepada nasihat Amerika, United Kingdom, Perancis dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:45 PM