AFP

BEIRUT: Pertempuran yang semakin meningkat di barat laut Syria antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak menyebabkan lebih 100 orang maut dalam tempoh dua hari, kata Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Wilayah Idlib yang mempunyai kira-kira tiga juta penduduk sepatutnya dilindungi oleh satu perjanjian damai antarabangsa tetapi menyaksikan peningkatan serangan udara oleh rejim Syria dan sekutunya Russia sejak lewat April.

Di bahagian barat daya yang menjadi kubu kuat kumpulan pemberontak, pertempuran sengit yang bermula sejak Selasa lalu menyebabkan 75 pemberontak dan 29 askar kerajaan terbunuh.


SEORANG lelaki melihat kesan serangan roket tentera Syria di kampung Kafr Nabl, selatan Idlib. FOTO AFP

Kata kumpulan pemantau itu, sekurang-kurangnya 14 pemberontak dan 19 pejuang prokerajaan terbunuh pada awal pagi semalam.

Pertempuran tertumpu di sekitar Tal Meleh di utara wilayah Hama.

“Pertempuran masih berlangsung dengan pesawat tentera rejim dan Russia mengebom kawasan berkenaan,” kata ketua pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Kelmarin, 16 orang awam terbunuh apabila tentera rejim Syria mengebom beberapa bahagian yang dikuasai pemberontak.


SEORANG orang awam dirawat di sebuah hospital di Aleppo selepas serangan roket dilancarkan ke bandar berkenaan. FOTO AFP

Russia dan Turki yang menyokong pemberontak memeterai satu gencatan senjata di Idlib pada September lalu tetapi perjanjian itu tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana pemberontak enggan berundur dari zon penampan yang dicadangkan.

Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham meneruskan kawalan terhadap wilayah itu yang merangkumi sebahagian besar Idlib dan juga beberapa kawasan di Latakia, Hama dan Aleppo.

Tentera Syria dan Russia meningkatkan serangan bom di wilayah itu sejak lewat April menyebabkan lebih 400 orang awam terbunuh.

Perang saudara di Syria membunuh lebih 370,000 orang dan menyebabkan berjuta-juta lagi menjadi pelarian sejak ia tercetus pada 2011 yang berpunca daripada bantahan antikerajaan.


SEBUAH bangunan yang musnah selepas menjadi sasaran serangan udara tentera Syria di kampung Benin. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 8:55 AM
PASUKAN pertahanan awam mengusung mangsa yang cedera dalam serangan udara tentera Syria di kampung Benin, kira-kira 30 kilometer dari barat laut Idlib kelmarin. FOTO AFP