APARTMEN lokasi bayi itu dicampak oleh bapanya. FOTO Agensi.
Agensi

BEIJING: Gara-gara bertengkar mengenai wang, seorang bapa tergamak mencampakkan bayi lelakinya keluar dari tingkap di tingkat enam sebuah apartmen pada hari ulang tahun kelahiran pertama kanak-kanak berkenaan.

Mail Online melaporkan, kanak-kanak itu dilaporkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah dicampak bapanya selepas suspek bertengkar dengan keluarganya.

Polis berkata, pihaknya menahan bapa mangsa yang dikenali sebagai Zhang, 29, berhubung jenayah berkenaan yang berlaku jam 11 malam (waktu tempatan), 14 Jun lalu di Dazhou, wilayah Sichuan.

Kanak-kanak itu yang genap setahun pada tarikh itu maut akibat jatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Nenek mangsa yang dikenali sebagai Qin berkata, dia dan suaminya menjaga kanak-kanak itu ketika ibu dan bapanya keluar bekerja.

Menurutnya, ketika kejadian dia bertengkar dengan anaknya berhubung gaji lelaki itu.

“Bayi menangis ketika saya mendukungnya dan anak saya berkata, dia mahu mengambilnya. Saya ingat dia mahu menidurkan bayi itu.

“Bagaimanapun, dia mengambil bayi itu dan terus mencampakkan keluar tingkap. Saya tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Menurutnya, Zhang juga cuba terjun dari tingkap itu tetapi berjaya dihalang Qin dan suaminya.


BAYI yang maut selepas dicampak dari tingkat enam. FOTO Agensi.

Ibu mangsa dilaporkan tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu dan dia juga disoal siasat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:30 AM