SEORANG pegawai dan seekor anjing polis memeriksa kontena di sepanjang Sungai Delaware di Philadelphia. FOTO AP.
AFP

NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) merampas kira-kira 16 tan dadah jenis kokain yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.17 bilion) dari sebuah kapal di pelabuhan di Philadelphia sekali gus menjadikannya sebagai rampasan dadah terbesar dalam sejarah.

Dadah terbabit ditemui dalam tujuh kontena di kapal kargo MSC Gayane yang dijadualkan berlepas ke Eropah selepas singgah di Chile, Panama dan Bahamas, lapor media tempatan.

"Ini adalah salah satu rampasan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Kru kapal sudah ditahan dan akan didakwa," kata peguam daerah Philadelphia, William McSwain menerusi akaun Twitter.

AFP melaporkan, imej yang disiarkan di televisyen tempatan menunjukkan beberapa kenderaan dari Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berada di kawasan pelabuhan manakala empat ejen menaiki kapal kontena besar itu.

Pejabat pendakwa raya bagaimanapun masih belum mengesahkan maklumat itu.

Rampasan itu dilakukan selepas pihak berkuasa sebelum ini merampas hampir 1.5 tan kokain pada Mac lalu iaitu rampasan di pelabuhan paling besar dalam tempoh hampir 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:50 AM