MOHAMED Morsi selamat dikebumikan semalam. FOTO AFP
AFP

KAHERAH: Jenazah presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi selamat dikebumikan semalam, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa satu siasatan bebas dilakukan terhadap punca kematiannya selepas rebah di mahkamah.

AFP melaporkan, pemimpin Islam yang digulingkan pada 2013 selepas setahun memerintah dan kemudiannya didakwa atas tuduhan mengintip, dikebumikan di tanah perkuburan di Medinat Nasr, timur Kaherah kata salah seorang peguamnya.

Peguam itu, Abdel Moneim Abdel Maksoud berkata, jenazah dimandi dan disembahyangkan oleh ahli keluarganya semalam di Hospital Leeman Tora.

Katanya, hanya 10 orang ahli keluarga dan rakan rapat pemimpin itu hadir ke majlis pengebumian berkenaan.

Beberapa pengikut yang meratap pemergiannya turut memasuki kawasan perkuburan sambil diiringi polis namun wartawan tidak dibenarkan masuk.

Pejabat ketua pendakwa raya berkata, pemimpin berusia 67 tahun dilaporkan rebah dan meninggal dunia ketika kesnya didengar kelmarin berhubung tuduhan bekerjasama dengan kuasa asing dan kumpulan militan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:05 AM