PEGAWAI keselamatan Mesir berdiri di luar tanah perkuburan tempat bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi dikebumikan. FOTO AFP.
Agensi

KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, 67, yang meninggal dunia ketika perbicaraannya kelmarin, memberitahu mahkamah beliau mempunyai ‘banyak rahsia’ yang boleh didedahkan.

Menurut AGP, Morsi meninggal dunia ketika berada dalam kandang tertuduh mahkamah di Penjara Tura, Kaherah, dalam perbicaraan semula tuduhan mengintip berkaitan pertubuhan Palestin, Hamas, yang dikenakan terhadapnya.

Morsi, presiden yang dipilih secara demokratik pertama Mesir, diberi lima minit oleh mahkamah untuk bercakap apabila dia rebah dalam kandang sebelum diberi bantuan kecemasan dikejarkan ke hospital.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.50 petang waktu tempatan.

Jenazah beliau dikebumikan di Kaherah, semalam, dalam majlis pengebumian yang hanya dihadiri anggota keluarga terdekat dan peguamnya.

Menurut agensi berita Anadolu, beliau yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, dikebumikan kira-kira jam 5 pagi di bandar Nasr, timur Kaherah, selepas pihak berkuasa Mesir menolak permintaan keluarga Morsi untuk jasadnya disemadikan di kampung halamannya di wilayah Sharqia.

Menurut sumber, hanya abang, anak, isteri serta dua peguam Morsi dilihat hadir pada pengebumian itu.

Morsi berdepan pelbagai pertuduhan sejak beliau diguling dan dipenjarakan dalam kudeta tentera pada 2013 yang dipimpin bekas menteri pertahanannya yang kini Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Terdapat enam pertuduhan terhadap bekas pemimpin itu termasuk ‘melarikan diri dari penjara, melakukan pembunuhan, mengintip untuk Qatar, mengintip untuk Hamas dan Hezbollah, menghina badan kehakiman dan terbabit dalam keganasan.’

Menurut keluarganya, Morsi menghidap penyakit kencing manis serta buah pinggang dan tidak diberikan rawatan perubatan sewajarnya.

Menurut Amnesty International, dalam tempoh enam tahun ditahan, beliau diasingkan dari dunia luar dan hanya tiga lawatan keluarga dibenarkan, selain dihalang mendapat akses kepada peguam atau doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 8:08 AM