GAMBAR HIASAN.
AFP

Kolkata: Seorang ahli silap mata India dilaporkan hilang selepas masuk ke sungai Ganges hari ini dengan diikat dengan rantai besi dan tali, kata polis.

Chanchal Lahiri yang dikenali sebagai “Jadugar Mandrake” diturunkan ke dalam sungai itu dengan menggunakan kren dan disaksikan orang ramai termasuk anggota keluarga, media dan polis.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit Lahiri tidak timbul-timbul menyebabkan pihak berkuasa melancarkan operasi mencarinya.

“Kami masih mencarinya,” kata seorang anggota keluarga kepada AFP.

Lahiri sebelum itu mendakwa dia berjaya melakukan aksi yang sama kira-kira 21 tahun lalu di sungai itu.

“Saya dirantai dan dikunci di dalam kotak kaca kalis peluru sebelum dijatuhkan dari jambatan Howrah. Saya berjaya melepaskan diri kira-kira 29 saat kemudian,” katanya.

Kali ini Lahiri mengaku sukar untuk dia melepaskan diri.

“Sekiranya saya berjaya melepaskan diri, ia satu magis sekiranya gagal ia menjadi tragik,” ujarnya.

Lahiri pernah melakukan aksi serupa pada 2013 tetapi dia diserang oleh orang ramai yang melihat dia keluar dari kotak berkunci itu melalui satu pintu rahsia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 10:21 PM