GAMBAR Hiasan.
AFP

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menghantar balik lima kontena berisi sampah ke Amerika Syarikat dan tidak akan menjadi ‘tapak pelupusan sampah’, kata pegawai hari ini, negara Asia Tenggara terbaharu yang mengembalikan sisa buangan import.

Kontena itu sepatutnya hanya mengandungi kertas, menurut dokumen kastam. Sebaliknya, ia dipenuhi dengan bahan buangan lain termasuk botol, sisa plastik dan lampin pakai buang, kata pegawai kanan Kementerian Alam Sekitar, Sayid Muhadhar.

“Ini tidak sepatutnya dan kami tidak mahu jadi tapak pembuangan sampah,” katanya.

Lima kontena itu dimiliki syarikat Kanada yang tiba dari Seattle di Amerika Syarikat ke Surabaya pada akhir Mac lalu.

Namun tidak dapat dipastikan tempat asal sampah itu.

Indonesia sedang meneliti beberapa kontena lain di pelabuhan Jakarta dan di Batam, Sumatera.

Ia adalah negara terbaharu mengembalikan sampah selepas negara jiran, Malaysia berjanji mengembalikan ratusan tan sisa plastik bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 9:14 PM