PENJUAL mengenakan bayaran 300 ribu rupiah (RM87) untuk lapan bungkus mee segera.
Agensi

JAKARTA: Ada yang ditipu dan ada juga yang tertinggal isteri serta mentua di hentian rehat dan rawat. Itu antara ragam yang berlaku di Indonesia ketika orang ramai berada di kampung halaman atau ‘mudik’ sempena sambutan Aidilfitri, minggu lalu.

Dalam kejadian di Jawa Barat, pelanggan yang makan di sebuah warung terkejut apabila dikenakan bayaran 300 ribu rupiah (RM87) untuk lapan bungkus mee segera.

Tribune News melaporkan, kejadian tersebar selepas satu video dimuat naik di Facebook beberapa hari lalu dengan tujuan untuk mendedahkan tindakan peniaga terbabit.

Penjual itu pada mulanya memberitahu, harga bagi sebungkus mee segera itu ialah 20 ribu rupiah (RM5.80) manakala segelas kopi ialah 10 ribu rupiah (RM2.90).

Bagaimanapun lain pula ceritanya selepas itu apabila pelanggan dikenakan bayaran 300 ribu rupiah dan berdasarkan rakaman, warung terbabit terletak di daerah Cirebon.

Sementara itu, Liputan 6 melaporkan kisah lucu seorang warga Jakarta yang menjadi tular di media sosial apabila dia dikatakan tidak sengaja tertinggal isteri dan mentua di hentian rehat dan rawat.

Seperti yang dimuat naik di akaun Instagram @omg.indonesia.id, kejadian disedari ketika lelaki tidak dikenali itu mengisi minyak di hentian rehat 102 Subang.

Berdasarkan keterangan gambar, dia yang panik meminta kebenaran polis untuk mengundurkan kenderaan kerana tertinggal isteri dan mentuanya.

“Dia turun dan menemui kita lalu bertanya sama ada boleh atau tidak mengundurkan kenderaan. Kita tidak benarkan kerana terlalu banyak kenderaan. Apabila ditanya, dia hanya memberitahu tertinggal isteri dan mentua di hentian rehat dan rawat,” kata Brigadir Erik Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:44 PM