CHINA melancarkan kempen terbaru pembersihan Internet, yang menyekat lebih banyak laman web media asing dan menutup akaun media sosial domestik. FOTO Agensi
Reuters

BEIJING: China melancarkan kempen terbaru pembersihan Internet, kata media tempatan di tengah gelombang baharu tapisan Beijing yang menyekat lebih banyak laman web media asing dan menutup akaun media sosial domestik.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata, usaha bersama itu dilancarkan pada Mei lalu oleh pentadbiran ruang siber, Kementerian Teknologi Maklumat, biro keselamatan awam dan pengawal selia pasaran sehingga akhir tahun.

Katanya, kempen ‘pembetulan’ itu akan menghukum dan mendedahkan laman web di atas ‘tindakan jenayah dan melanggar undang-undang’ kerana gagal ‘mematuhi’ untuk mengambil langkah keselamatan atau mencuri maklumat peribadi.

Kempen itu diikuti siri terbaharu penutupan dan sekatan laman web dan akaun sosial media tertentu.

Beberapa media asing di luar kawalan Beijing seperti Washington Post dan The Guardian tidak dapat diakses dalam talian sejak hujung minggu lalu, antara senarai laman yang disekat termasuk Reuters.

Penerbitan berita kewangan China dalam talian, Wallstreetcn.com berkata kelmarin, ia menutup laman web dan aplikasi mudah alih miliknya atas permintaan pihak berkuas tetapi tidak diberi maklumat lanjut jika melanggar sebarang peraturan.

Akaun media sosial yang menerbitkan bahan sensitif dari politik hinggalah berita kewangan juga ditutup baru-baru ini.

Pihak berkuasa berkata, pada November lalu mereka sudah menutup 9,800 akaun penyedia berita yang dianggap menerbitkan kandungan sensasi, lucah atau menjejaskan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:37 PM