JEMAAH solat sunat Aidilfitri di sebuah kampung di Jawa Tengah. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Tindakan seorang khatib menyampaikan khutbah politik selepas solat sunat Aidilfitri lalu, menyebabkan jemaah solat sunat Aidilfitri di sebuah kampung di Jawa Tengah bertindak meninggalkan masjid beramai-ramai.

Rakaman video kejadian itu mula tular di Indonesia sejak kelmarin, menunjukkan penduduk di Kabupaten Klaten keluar beramai-ramai dari masjid.

Pemilik akaun Instagram @m.bahrunnajach memuat naik video itu Jumaat lalu dan sehingga kini sudah ditonton 67,117 kali.

Kompas melaporkan, pemimpin daerah itu, Bambang Haryoko yang mengesahkan kejadian berkata, khutbah disampaikan tidak sesuai kerana berbaur politik sedangkan sepatutnya berkaitan dengan sambutan Aidilfitri.

Susulan kejadian itu, dia bersama beberapa pihak termasuk polis, pihak berkuasa lain serta pemimpin masyarakat memanggil khatib berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

Bambang berkata, khutbah sepatutnya dirujuk dengan Kementerian Agama atau Pejabat Agama di peringkat daerah sebelum dibacakan, sama ada solat sunat Aidilfitri mahu pun Aidiladha.

“Khatib memberi alasan kesuntukan masa menyebabkan dia mengambil isi khutbah itu melalui Internet dan tidak sempat memperbaiki kandungan khutbah,” katanya,

Bagaimanapun menurutnya, khatib itu sudah memohon maaf dan menyesal kerana tidak sensitif dengan perasaan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 8:34 PM