UNIT Taktikal Polis di Pusat Pengawasan Conde-sur-Sarthe. FOTO AFP

PARIS: Dua pengawal dijadikan tebusan oleh seorang banduan yang membawa senjata buatan sendiri dalam kejadian di sebuah penjara berkeselamatan tinggi di barat laut Perancis, semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya dibebaskan tanpa sebarang kecederaan kira-kira lima jam kemudian, kata pihak berkuasa.

AFP melaporkan, Unit Taktikal Polis tiba menaiki helikopter ketika situasi tebusan itu berlaku di Pusat Pengawasan Conde-sur-Sarthe yang menahan banduan berbahaya atau radikal serta individu yang mempunyai masalah disiplin yang serius.

Jurucakapnya berkata, banduan yang menggunakan senjata buatan sendiri itu berjaya menahan pengawal dan pelatih wanita ketika waktu makan.

Direktorat Pentadbiran Penjara Kebangsaan berkata, banduan terbabit membebaskan pengawal terlebih dulu sebelum pelatih wanita dan kemudiannya banduan terbabit menyerah diri.

Setakat ini tidak ada maklumat terkini berhubung bagaimana pengawal terbabit dibebaskan atau ia membabitkan rundingan.

Sumber kementerian kehakiman berkata, banduan itu mempunyai sejarah masalah psikiatri dan menahan banduan serta mempunyai kesalahan jenayah merompak, merogol dan membunuh banduan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:23 AM