KUMPULAN Rock British, Radiohead.
Reuters

NEW YORK: Kumpulan Rock British, Radiohead mengumumkan rancangan untuk menjual lagu yang tidak diterbitkan selama 18 jam dan menyalurkan hasil jualan kepada aktivis iklim selepas ia karya itu dicuri penggodam yang memeras wang.

Reuters melaporkan, pita mengandungi lagu yang dirakam ketika menghasilkan album studio ketiga, OK Computer dilancarkan pada 1997 itu, dilaporkan dicuri minggu lalu dan penggodam terbabit meminta wang sebanyak AS$150,000 (RM624,783).

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, daripada membayar wang itu, mereka lebih rela melancarkan semua lagu dan keuntungannya akan disalurkan kepada Extinction Rebellion.

“Kami melancarkan semua lagu itu untuk membantu Extinction Rebellion,” kata Radiohead menerusi kenyataan di Twitter yang ditandatangani pemain gitar utama, Jonny Greenwood.

Radiohead akan menjual 18 trek lagu dengan harga 18 pounds (RM95.70) sepanjang 18 hari di laman web Amerika Syarikat, Bandcamp yang membenarkan artis menjual muzik kepada peminat mengikut harga ditetapkan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:15 AM