CUACA di Jhansi mencecah 45 darjah Celsius.
AFP

NEW DELHI: Empat penumpang kereta api maut akibat cuaca terlampau panas di utara India, kata pihak berkuasa hari ini.

Mangsa meninggal dunia semalam ketika kereta api dalam perjalanan dari Agra ke Coimbatore di selatan India.

Jurucakap Indian Railways, Ajit Kumar Singh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan yang memaklumkan salah seorang mangsa tidak sedar diri ketika kereta api menghampiri Jhansi.

“Kami menghantar pasukan perubatan ke stesen dan mereka mendapati tiga penumpang sudah meninggal dunia.

“Mangsa keempat meninggal dunia di hospital,” katanya kepada AFP.

Cuaca di Jhansi yang terletak di utara Uttar Pradesh mencecah 45 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu.

Singh berkata, kereta api Express Kerala tidak mengalami kerosakan teknikal, namun koc mangsa tidak mempunyai penghawa dingin.

Seorang penumpang berkata, beberapa penumpang mengadu sesak nafas dan kurang selesa tidak lama selepas kereta api bertolak dari Agra.

Menurut stesen televisyen News18, salah seorang mangsa berusia 81 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 7:54 PM