KENDERAAN berbaris di pintu tol Cikampek Utama ketika orang ramai berpusu-pusu meninggalkan ibu kota untuk pulang menyambut Aidilfitri di Jawa Barat. FOTO Reuters
AFP

JAKARTA: Jakarta mula kosong apabila jutaan penduduknya mula meninggalkan ibu kota berkenaan ‘mudik’ atau pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut Rabu ini.

Warga kota terbabit menempuh kesesakan dan perjalanan memenatkan yang boleh memakan masa berhari-hari untuk pulang ke kampung sama ada melalui jalan raya, kereta api atau jalan laut.


PENUMPANG turun dari sebuah kapal di pelabuhan di Surabaya, wilayah Jawa Timur, Indonesia. FOTO Agensi

Kira-kira 15 juta, iaitu separuh daripada jumlah penduduk Jakarta meninggalkan bandar raya berkenaan menjadikan ibu negara sepi dan jalan raya yang biasanya sesak, kini lengang.

Pada tahun sebelum ini, ramai terbunuh dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan pulang ke kampung.

Lebuh raya di Pulau Jawa yang menjadi tempat tinggal separuh daripada 260 juta penduduk Indonesia, sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.

Orang ramai turut membanjiri lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan untuk pulang ke kampung mereka di negara yang mempunyai 17,000 pulau itu.


ORANG ramai membawa beberapa beg pakaian ketika tiba di pelabuhan Belawan, Medan untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri. FOTO EPA

Kenderaan yang selesa bukan lagi pilihan utama kerana yang penting ialah sampai ke destinasi menyebabkan ramai tidak memilih jenis kenderaan, malah ada yang menggunakan bajaj iaitu teksi roda tiga yang biasanya hanya untuk kegunaan dalam bandar.

“Tempoh perjalanan antara 14 hingga 20 jam. Jika lalu lintas lancar, mungkin memakan masa sehingga 14 jam namun jika sesak teruk, mungkin 20 jam atau lebih,” kata pemandu bajaj, Sugeng Puji yang menuju ke Kebumen di Jawa Tengah.

Tidak seperti tahun sebelum ini apabila orang ramai tersangkut berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas, kesesakan tahun ini tidak begitu buruk.


PENUNGGANG motosikal berbaris sambil menunggu feri melintas pulau Jawa di pelabuhan Gilimanuk, Bali ketika dalam perjalanan menyambut Aidilfitri dijangka Rabu ini. FOTO Agensi

Seorang penduduk, Dwi Soejatmoko, yang melakukan perjalanan 550 kilometer dari Jakarta ke Yogyakarta berkata, perjalanannya tahun ini tidak begitu teruk.

“Tidak banyak kesesakan lalu lintas tahun ini. Kereta kami masih boleh bergerak, walaupun perlahan, bukannya terhenti terus” katanya.

Situasi sama juga ditempuh penduduk Indonesia ketika cuti perayaan lain, termasuk Tahun Baru Cina dan Krismas apabila penduduk yang bercuti panjang, beramai-ramai meninggalkan ibu kota.


PANDANGAN dari udara kenderaan yang beratur di Pelabuhan Merak, Banten bagi menaiki feri untuk menyeberang ke Pulau Sumatera. FOTO Antara via Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 8:28 AM