Agensi

BAITULMAQDIS: Umat Islam Palestin bertempur dengan polis Israel di Masjidil Al-Aqsa kerana membantah tindakan Zionis membenarkan penganut Yahudi memasuki masjid berkenaan, semalam.

Penduduk Palestin berkubu dalam masjid dan melemparkan perabot, termasuk kerusi dan batu kepada polis yang cuba meleraikan mereka.

AFP melaporkan, pertubuhan Islam Waqf yang mentadbir Masjidil Al-Aqsa melalui kuasa Jordan menyatakan polis menggunakan peluru getah serta penyembur lada dan beberapa orang ditahan.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh 30 tahun penganut Yahudi dibenarkan memasuki laman Masjidil Al-Aqsa pada hari-hari terakhir Ramadan yang tahun ini, bertembung ketika Israel menyambut Hari Baitulmaqdis sempena kejayaan Zionis menawan bandar suci berkenaan, itu, terutama Baitulmaqdis Timur ketika Perang Enam Hari pada 1967.

Menurut peraturan yang dipersetujui bersama, penganut Yahudi tidak boleh memasuki kawasan Masjidil Al-Aqsa kerana sensitiviti Ramadan.

Ratusan polis Israel sudah mengepung Masjidil Al- Aqsa sejak pagi ketika ratusan penganut Yahudi menunggu untuk memasukinya.


SEBAHAGIAN umat Islam yang membantah kemasukan Zionis ke Masjidil Al-Aqsa. FOTO: AFP

Menurut Al Jazeera, ratusan penganut Yahudi berhaluan kanan menuntut memasukinya dan selepas polis Israel memutuskan membenarkan mereka masuk, bantahan tercetus.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, pertempuran itu berjaya ditamatkan dan lawatan oleh penganut Yahudi diteruskan.

Rakaman video dalam masjid menunjukkan umat Islam Palestin melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan melemparkan kerusi serta objek lain ke arah pintu yang dibalas dengan gas pemedih mata serta bom pegun oleh polis Israel.

Laman Masjidil Al-Aqsa yang dikenali sebagai Temple Mount oleh Yahudi, terletak di Baitulmaqdis Timur.

Penganut Yahudi dibenarkan mengunjungi kawasan berkenaan namun tidak boleh melakukan sebarang aktiviti ibadat.

Ribuan penganut Yahudi berarak di Baitulmaqdis menuju Tembok Barat di bawah laman Masjidil Al-Aqsa, tembok yang dianggap paling suci kepada penganut Yahudi.

Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis adalah ibu negaranya manakala Palestin menegaskan Baitulmaqdis Timur adalah ibu negara mereka yang bakal ditubuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 9:02 PM
RATUSAN polis Israel sudah mengepung Masjidil Al- Aqsa sejak pagi ketika ratusan penganut Yahudi menunggu untuk memasukinya. FOTO: Agensi