ANGGOTA bomba memotong jeriji besi untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tersangkut. FOTO Agensi.
Agensi

BOGOTA: Kerana terlalu ghairah untuk berbual dengan jirannya, seorang wanita berdepan detik-detik mencemaskan apabila kepalanya tersangkut di jeriji besi di rumah jirannya itu selama lima jam.

Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku di bandar La Virginia apabila wanita yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan pergi ke rumah jirannya.

Ada laporan mendakwa wanita itu terlalu ghairah untuk berbual dengan jirannya hingga dia memasukkan kepalanya ke dalam jeriji besi itu di pintu depan rumah.

Laporan lain pula, wanita itu memasukkan kepalanya ke dalam jeriji besi yang berkunci itu untuk memanggil atau melihat sama ada jirannya ada di rumah atau tidak sebelum kepalanya tersekat.

Jirannya yang menyedari kejadian itu segera membantu wanita berkenaan melepaskan dirinya tetapi gagal sebelum mereka meminta bantuan bomba.

Kepala wanita itu dilaporkan tersangkut selama lima jam sebelum anggota bomba memotong jeriji besi itu untuk menyelamatkannya.

Wanita itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan tetapi trauma dengan keletihan selepas lima jam terperangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:19 AM