NUSRAT dibakar mati selepas melaporkan gangguan seksual terhadapnya. FOTO TheGuardian
Agensi

DHAKA: Enam belas orang termasuk pengetua sebuah madrasah didakwa berhubung pembunuhan seorang remaja perempuan yang dibakar mati selepas melaporkan gangguan seksual terhadapnya.

Nusrat Jahan Rafi, 19, disimbah minyak tanah dan dibakar di bumbung madrasahnya pada 6 April lalu, beberapa hari selepas membuat laporan polis kerana diganggu secara seksual oleh pengetuanya, Siraj Ud Doula, lapor BBC.

Dia dilaporkan mengarahkan pembunuhannya dari penjara apabila Nusrat enggan menarik balik tuduhan terhadapnya.

Menurut BBC, suspek merancang pembunuhan itu supaya kelihatan seperti bunuh diri, namun Nusrat yang mengalami lecuran pada 80 peratus badannya sempat memberi keterangan kepada polis sebelum meninggal dunia pada 10 April lalu.

Kes itu mencetuskan protes besar-besaran di Bangladesh.

Dhaka Tribune memetik polis berkata, keterangan 92 saksi direkodkan dalam siasatan mereka. Siraj ditahan pada 27 Mac lalu atas laporan polis Nusrat. Pada 6 April, wanita itu pergi ke sekolah untuk peperiksaan sebelum dipujuk ke bumbung madrasah dan dibakar sekumpulan orang yang memakai burka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 12:15 AM