PARAMEDIK Pakistan membuat ujian HIV terhadap kanak-kanak di Larkana. Hampir 700 orang, kebanyakan daripada golongan kanak-kanak didapati HIV positif. FOTO AFP
AFP

KARACHI: Seorang lelaki membunuh isterinya yang positif HIV di selatan Pakistan, di mana ratusan orang disahkan positif virus itu sejak beberapa minggu lalu seterusnya mencetuskan panik dan mengetengahkan tahap kesihatan awam yang rendah di negara berkenaan.

Menurut polis, kejadian berlaku di sebuah perkampungan berhampiran lokasi penyebaran wabak itu, di pinggir Larkana, wilayah Sindh, di mana ribuan orang menjalani penyaringan pada bulan ini.

Mangsa, ibu beranak empat berusia 32 tahun didapati positif beberapa hari lalu dan dituduh mempunyai hubungan sulit oleh suaminya.

Seorang anggota polis, Roshan Ali memberitahu AFP: “Pagi ini suaminya menjerut lehernya menggunakan tali sebelum menggantungnya dari pokok di luar rumah mereka.”

Menurutnya, suspek sudah ditahan. Ketua polis Shikarpur, Sajid Sadozai mengesahkan kejadian itu.

Kemarahan dan ketakutan terus menyelubungi penduduk miskin tegar berhampiran Larkana yang terkesan akibat wabak itu, yang dipercayai pihak berkuasa akibat kecuaian atau niat jahat seorang doktor yang menggunakan jarum tercemar.

Menurut pihak berkuasa, hampir 700 orang, kebanyakannya kanak-kanak disahkan positif HIV dalam beberapa minggu lalu dalam pada pakar memberi amaran peningkatan jangkitan di sekitar Pakistan akibat penggunaan peralatan kotor dan salah laku di tangan doktor palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:17 PM