BANYAK bangunan mengalami kerosakan besar dan kecil apabila puting beliung membadai Jefferson City malam kelmarin. FOTO REUTERS
Reuters

JEFFERSON CITY: Kejadian puting beliung tengah Amerika Syarikat (AS) mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang di Missouri, sementara itu hujan lebat menyebabkan sungai melimpah di Oklahoma, kata pihak berkuasa semalam.

Tiga kematian itu dan beberapa kecederaan dilaporkan di Golden City, Missouri, kira-kira 48 kilometer di timur laut Joplin apabila puting beliung membadai malam kelmarin, kata Jabatan Keselamatan Awam Missouri di Twitter.

Angka itu menjadikan jumlah kematian akibat cuaca buruk dalam tempoh seminggu kepada sekurang-kurangnya tujuh orang ketika pakar kaji cuaca berkata, hujan dan angin kencang dijangka belum reda.

“Hujan dijangka berterusan minggu depan di bahagian tengah AS,” kata pegawai di Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional (NWS), Mark Chenard.

Chenard berkata, hujan lebat melanda Texas Panhandle dan sebelah barat di utara Oklahoma sehingga Nebraska semalam mengancam membawa lebih banyak banjir.

Ancaman puting beliung berkurangan dari Texas Panhandle sehingga Kansas, katanya.

Di bandar ini ibu negeri Missouri, pihak berkuasa berkata, puting beliung ganas menyebabkan kerosakan besar-besaran namun tiada kematian.

“Banyak bangunan mengalami kerosakan besar dan kecil dan kerosakan agak meluas,” kata Datuk Bandar Jefferson City, Carrie Tergin kepada CNN.

Gabenor Missouri, Mike Parson berkata, sekurang-kurangnya 20 dirawat di hospital namun kebanyakannya dibenarkan keluar.

Awal minggu ini, puting beliung menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut di Iowa sementara dua di Oklahoma maut dalam nahas akibat jalan licin manakala mangsa ketiga lemas dalam kejadian banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 1:15 PM