KEADAAN bangunan di bandar Taiz, selatan Yaman yang musnah dibom. - Agensi
Agensi

SANAA, YAMAN: Seramai 27 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam tempoh 10 hari akibat serangan udara tentera pakatan diketuai Arab Saudi, termasuk tujuh yang maut dalam serangan terhadap stesen minyak di Taiz, Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore, berkata: “Tiada kawasan yang selamat untuk kanak-kanak di Yaman. Perang ini membawa kematian kepada mereka sama ada di rumah, sekolah dan kawasan permainan.”

Menurutnya, dalam serangan terbaru di Mawiyah, wilayah Taiz, selatan Sanaa, minggu lalu tujuh kanak-kanak yang terbunuh itu berusia antara empat hingga 14 tahun.

“Ada lagi kanak-kanak dilaporkan terbunuh di kawasan dikuasai pemberontak Houthi di Sanaa akibat serangan udara berterusan.

“Dalam tempoh 10 hari lalu, 27 kanak-kanak terbunuh atau cedera di sekitar Sanaa dan Taiz,” katanya.

Menurutnya, jumlah kematian biasanya lebih tinggi daripada dilaporkan.


KANAK-KANAK Yaman yang kekurangan zat akibat kebuluran. - Agensi

Fore ketika memberi laporan kepada Majlis Keselamatan PBB berkata, serangan terhadap infrastruktur awam perlu dihentikan.

Taiz yang dikuasai tentera kerajaan dalam buangan sedang dikepung dan diserang pemberontak Houthi sokongan Iran.

Wilayah itu menjadi sasaran serangan udara tentera pakatan diketuai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengelak ia jatuh kepada pemberontak.

Menurut PBB, konflik empat tahun Yaman mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dunia membabitkan 24 juta orang iaitu dua pertiga daripada penduduk negara itu diancam kebuluran dan wabak penyakit.

Menurut angka rasmi PBB, lebih 50,000 orang terbunuh dalam perang itu dengan 11 peratus penduduk menjadi pelarian.


KANAK-KANAK Yaman yang kelaparan menunggu bantuan bekalan makanan di kem pelarian. - Agensi

UNICEF memohon semua pihak di Yaman mempunyai kuasa dan berpengaruh supaya melindungi kanak-kanak.

Perang saudara tercetus di Yaman pada 2014 apabila pemberontak Houthi yang berfahaman Syiah menawan sebahagian besar wilayah, termasuk ibu negara, Sanaa.

Pada Mac 2015, Arab Saudi dan sekutu Arabnya melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap kedudukan Houthi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:33 AM