SAKTHIVEL membiarkan ketumbuhan di kepalanya selama 20 tahun.
Agensi

NEW DELHI: Pakar bedah di India membuang ketumbuhan otak dipercayai yang terbesar di dunia daripada seorang lelaki selepas dibiarkan membesar 20 tahun.

Pesakit berusia 31 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Sakthivel dilaporkan membiarkan ketumbuhan itu membesar kerana takut menjalani pembedahan, selain faktor kemiskinan.

Apabila dia bersetuju membuangnya, tumor itu dilaporkan seberat lima kilogram dan doktor percaya ia yang paling besar direkodkan dalam laporan perubatan.

Pakar bedahnya, Dr J Srisaravanan berkata, tumor berkenaan dipercayai berkanser hampir sebesar kepalanya.

“Pesakit datang ke hospital kami pada minggu kedua Mei lalu dengan ketumbuhan besar pada kepalanya selain mengalami kesukaran menggerakkan lehernya.

“Dia mempunyai tumor itu hampir 20 tahun, tetapi dia terlalu takut menjalani pembedahan disebabkan abangnya sebelum ini mati ketika dibedah,” katanya.


SAKTHIVEL selepas pembedahan berjaya dilakukan.

Dr Srisaravanan berkata, ketumbuhan itu dibuang selepas pembedahan selama 10 jam.

Menurut Daily Mail, Sakthivel mendapat bantuan perubatan selepas saiz tumor yang terlalu besar itu menyukarkan pergerakan termasuk mengganggu aktiviti seharian.

“Sepanjang kerjaya 15 tahun dalam bidang ini, saya tidak pernah melihat ketumbuhan sebesar ini. Malah kami turut mencari jurnal perubatan dan tidak menemui ketumbuhan sebesar ini,” kata Dr Srisaravanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 8:39 AM