KANAK-KANAK terbabit segera membantu ibunya dengan menumbuk muka lelaki itu beberapa kali. FOTO: Daily Mail
Daily Mail

BUENOS AIRES: Tindakan berani kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menumbuk muka seorang pencuri berjaya menghalang lelaki itu daripada melarikan basikal elektrik ibunya dalam kejadian di Zarate, Argentina, Rabu lalu.

Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam dan kanak-kanak itu berdiri di tangga sebuah bangunan.

Manakala ibunya di atas basikal elektrik di laluan kaki lima bangunan berkenaan.

Seorang lelaki dilihat menghampiri wanita itu dan cuba menolak dia dari kenderaannya.

Daily Mail melaporkan, kanak-kanak terbabit segera membantu ibunya dengan menumbuk muka lelaki itu beberapa kali.

Wanita berkenaan kemudian menarik baju kemeja lelaki terbabit dan menolaknya.

Biarpun anak-beranak berkenaan berjaya menghalang pencuri terbabit, pihak berkuasa Argentina berkata lelaki itu melarikan diri dan tiada penangkapan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:20 PM