THERESA May letak jawatan selaku PM Britain. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Bekas Setiausaha Kementerian Luar Negeri Britain, Boris Johnson dilihat sebagai calon kegemaran Parti Konservatif untuk jawatan Perdana Menteri selepas Theresa May mengundurkan diri dari jawatan itu pada 7 Jun ini.

Minggu lalu, Johnson, 54, secara umum mengesahkan akan bertanding untuk jawatan tertinggi negara itu, lapor Daily Mail.

Johnson dikatakan mula berkempen untuk jawatan Perdana Menteri secara diam-diam selepas meletakkan jawatannya pada Julai lalu.

Pada awal tahun, bapa kepada empat anak itu mula mengubah penampilannya dengan menurunkan berat badan dan menguruskan rambutnya.

Bagaimanapun, terdapat belasan Ahli Parlimen yang akan bersaing dengan Johnson untuk jawatan pemimpin Parti Konservatif dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Turut mengumumkan bakal bertanding untuk jawatan itu adalah bekas diplomat Rory Stewart, bekas Menteri Kerja dan Pencen Esther McVey serta Menteri Luar Negeri Jeremy Hunt.

Berdasarkan survei dari Huffington Post, bekas Setiausaha Brexit, Dominic Raab didapati calon pilihan kedua Konservatif sebagai pemimpin parti itu.

Ia diikuti Menteri Alam Sekitar, Michael Gove dan Setiausaha Dalam Negeri, Sajid Javid yang masing-masing di tempat ketiga.

Anggota lain yang turut tersenarai adalah Stewart, Hunt, penyokong pro-Brexit Andrea Leadsom, Setiausaha Pertahanan Penny Mordaunt dan Menteri Kesihatan Matt Hancock.

Pengerusi Parti Konservatif, Brandon Lewis berkata pemimpin baru parti itu dijangka diumumkan sekitar Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 12:34 AM