ANGGOTA polis memasang halangan di luar pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Jakarta, semalam selepas pengumuman keputusan pilihan raya presiden. FOTO Reuters
Agensi

JAKARTA: Kira-kira sejuta penyokong Prabowo Subianto yang tewas pilihan raya presiden Indonesia merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di jalan raya bagi membantah keputusan pilihan raya itu selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) diisytiharkan menang semalam.

Anak perempuan bekas diktator, Suharto dan presiden pertama Indonesia, Sukarno, serta beberapa parti pembangkang menyeru bantahan besar-besaran selama dua hari bermula semalam, bagi membantah keputusan pilihan raya pada April lalu.


AKTIVIS Islam melaungkan slogan semasa perhimpunan besar-besaran di Jakarta. FOTO EPA

Suruhan pilihan raya Indonesia membuat pengumuman mengejut keputusan pilihan raya pagi semalam, sehari lebih awal daripada tarikh sepatutnya bagi mengelak kekacauan.

Jokowi dan calon Naib Presiden, Ma’ruf Amin memperoleh 55.5 peratus undi berbanding Subianto dan calon Naib Presidennya, Sandiaga Uno hanya mendapat 44.5 peratus undi, hampir sama seperti keputusan kiraan tidak rasmi.

Daripada 154 juta pengundi seramai 85.6 peratus memilih Jokowi untuk berkuasa bagi penggal kedua.

Jokowi mendapat 85 juta undi namun menurut Prabowo, beliau percaya berlaku penipuan undi besar-besaran dan semalam, 800 penyokongnya memulakan bantahan.


POLIS menghalang penunjuk perasaan ketika demonstrasi di luar pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Jakarta. FOTO EPA

Pemerhati bebas dan penganalisis berkata, pilihan raya itu berlangsung adil dan mengikut undang-undang.

Prabowo yang juga bekas jeneral tentera merancang mengambil tindakan undang-undang bagi membantah keputusan pilihan raya berkenaan.

Anak perempuan Sukarno, Rachmawati Sukarnoputri dan bekas isteri Probowo, Titiek Suharto yang juga anak perempuan Suharto, menyertai gerakkan yang turut disokong bekas jeneral tentera.

Penganjur gerakkan itu dikenali sebagai Kuasa Rakyat mendakwa lebih sejuta orang akan turun menyertai bantahan itu.


PENYOKONG Prabowo mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah keputusan pilihan raya itu. FOTO EPA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 8:56 AM