LIMA banduan dan tiga pengawal itu dibunuh oleh banduan Daish, dalam kejadian lewat Ahad (waktu tempatan) di Vakhdat. FOTO: AFP
AFP

DUSHANBE: Tiga puluh dua orang maut, termasuk 24 anggota kumpulan militan Daish serta tiga pengawal penjara selepas satu rusuhan di Tajikistan.

Lima banduan dan tiga pengawal itu dibunuh oleh banduan Daish, dalam kejadian lewat Ahad (waktu tempatan) di Vakhdat, 17 kilometer dari ibu negara Dushanbe, kata kementerian keadilan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perusuh menikam mati tiga pengawal dan lima banduan untuk menakutkan tahanan lain. Mereka kemudian mengambil banduan lain sebagai tebusan sebelum melepaskan tembakan terhadap kemudahan perubatan penjara.

“Dua puluh empat anggota kumpulan itu maut dalam operasi kami, manakala 25 yang lain ditahan. Semua tebusan dibebaskan dan keadaan kembali aman di penjara itu,” kata kenyataan berkenaan.

Antara yang mengetuai rusuhan itu termasuk anak lelaki seorang bekas ketua pasukan khas Tajikistan yang menjadi anggota kanan Daish di Syria, di mana dia terbunuh pada September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:55 PM