GAMBAR HIASAN
Agensi

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dengan ibu bapa yang kurang upaya dijual sebagai hamba seks oleh keluarganya dengan harga cuma kira-kira 150,000 rupee (RM8,900).

Remaja itu dijual tiga kali di Rajasthan, India, selepas saudara-maranya memujuk ibu bapanya supaya menyerahkannya kepada kumpulan pemerdagangan manusia, lapor Times of India.

Jurucakap polis, Jagdish Prasad berkata, remaja itu yang mempunyai bapa buta manakala ibunya juga kurang upaya, dipercayai dari kasta Dalit iaitu yang paling rendah dalam masyarakat di India.

“Kira-kira tiga bulan lalu, saudara-mara keluarga itu berjaya memujuk ibu bapa gadis berkenaan supaya menjual mangsa kepada pemerdagang manusia.

“Mangsa dibawa ke Bharatpur di mana dia dirogol seorang lelaki, kemudian dijual pula kepada lelaki lain yang juga merogolnya sebelum dia sekali lagi di jual.

“Bagaimanapun, remaja itu sangat berani dan nekad melarikan diri dari rumah ketiga itu, malah menyerahkan bahan bukti kepada pihak polis termasuk nombor telefon penyerangnya,” katanya dipetik The Mirror.

Susulan itu, katanya, tiga orang ditahan atas tuduhan merogol budak bawah umur, manakala beberapa yang lain turut ditangkap kerana pemerdagangan dan penahanan salah budak bawah umur.

Ketika soal siasat, seorang suspek mengaku kepada polis bahawa ramai gadis muda yang miskin dijual atau dipaksa mengahwini lelaki tua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:18 AM