SISTEM peluru berpandu pertahanan udara S-400 buatan Russia yang dibeli Turki. - Agensi
Agensi

TURKI akan mengeluarkan sistem pertahanan udara termoden Russia, S-500 bersama Moscow selepas Ankara bersetuju membeli sistem pertahanan S-400 yang dibantah keras oleh Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Turki sudah muktamad tidak akan membatalkan persetujuannya membeli S-400 daripada Russia.

“Turki selepas itu akan mengeluarkan S-500 bersama Russia,” katanya di Istanbul.

S-400 ialah sistem peluru berpandu pertahanan udara mudah alih terhadap pesawat yang tahap jangkauan sejauh 40 kilometer, 120 kilometer dan 250 kilometer bergantung kepada versi, dianggap sistem pertahanan udara terbaik pernah dihasilkan.

Amerika sebelum ini, berulang kali memberi amaran Turki mungkin dikenakan sekatan kerana membeli S-400 itu.

Hubungan Turki dengan NATO serta Amerika hambar berikutan beberapa isu, termasuk sokongan Amerika terhadap pemberontak Kurdish yang dianggap Ankara sebagai pengganas serta kegagalan Amerika mengekstradisi seorang pendakwa Islam yang dituduh dalang cubaan rampasan kuasa 2016 terhadap Erdogan.

Menurut Amerika, pembelian senjata Russia itu mengancam pertahanan Barat dan April lalu, menggantung penghantaran pesawat penggempur kali radar F-35 kepada Turki.

Juruterbang Turki kini berada di Amerika menjalani latihan menerbangkan F-35 itu. Turki diijangka membeli 100 unit pesawat berkenaan.

Menurut Erdogan, kajian kerajaan mendapati tiada masalah kesesuaian sistem S-400 dengan F-35 seperti dibimbangi Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:11 AM