AFP

RATO DERO (PAKISTAN): Pihak berkuasa Pakistan bimbang lebih ramai dijangkiti HIV selepas ujian sejak beberapa minggu lalu, mengesahkan 400 orang, sebahagian besarnya kanak-kanak dijangkiti virus maut itu akibat perbuatan doktor palsu menggunakan peralatan, terutama jarum suntikan yang tercemar.

Setiap hari, ibu bapa menunggu dengan resah ketika pegawai perubatan melakukan ujian darah terhadap anak mereka, termasuk di perkampungan Wasayo, pinggir bandar Larkana di wilayah Sindh.

Pasukan polis dikerah mengawal lima bilik pemeriksaan yang siap dibina bulan lalu di perkampungan itu.

Mukhtar Perves dilihat resah menanti anak perempuannya menjalani ujian dan khuatir jika demam dihidapi anaknya baru-baru ini ada kaitan dengan HIV manakala bagi segelintir penduduk lain, mimpi ngeri mereka sudah bertukar menjadi kenyataan.


DOKTOR palsu kini dalam tahanan polis di bandar Ratodero. FOTO Agensi

Nisar Ahmed tiba di klinik dengan penuh kemarahan ketika cuba mendapatkan ubat bagi anak perempuannya yang berusia setahun tetapi disahkan positif HIV tiga hari lalu.

“Saya sumpah (doktor itu) yang menyebabkan semua anak-anak ini dijangkiti virus berbahaya ,” katanya berang.

Imam Zadi pula menemani lima anaknya yang lain selepas cucu lelaki beliau disahkan positif HIV.

“Seluruh keluarga amat berduka cita,” katanya.

Pihak berkuasa yang menyiasat penyebaran HIV di Sindh mendapati doktor palsu terbabit juga HIV positif.

Lelaki itu yang kini dalam tahanan polis di bandar Ratodero, menafikan tuduhan dia sengaja menyuntik pesakit dengan virus HIV.

Pakistan dianggap antara negara paling rendah kes HIV namun penyakit itu merebak pantas, terutama dalam kalangan penagih dan dan pekerja seks.

Pada 2017, negara itu merekodkan 20,000 pesakit baru HIV menjadikannya negara kedua yang kadar jangkitan tertinggi di Asia dan keadaan diburukkan lagi oleh doktor palsu yang kononnya memberi rawatan murah kepada penduduk luar bandar.

“Kerajaan Pakistan merekodkan kira-kira 600,000 doktor palsu beroperasi di seluruh negara dengan 270,000 di wilayah Sindh,” kata kenyataan UNAIDS.

Pengurus Progam Pertubuhan Kawalan Aids Sindh, Sikandar Memon berkata, doktor palsu terbabit menggunakan jarum yang sama bagi menyuntik beberapa pesakit yang menjadi punca merebaknya HIV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 9:23 AM
PEGAWAI perubatan mengambil sampel darah daripada seorang kanak-kanak untuk jalani ujian HIV. FOTO AFP