APPAZ Iliev yang mempunyai lapan anak, 35 cucu dan 34 cicit. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Lelaki tertua di Russia dan juga dianggap sebagai tertua di dunia meninggal dunia pada usia 123 tahun.

Appaz Iliev yang mempunyai lapan anak, 35 cucu dan 34 cicit pernah berkata, rahsianya panjang umur adalah tidur awal iaitu pada jam 7 malam untuk mendapatkan tidur selama 11 jam sehari.

Lelaki dari etnik Ingush itu juga tidak gemar menonton televisyen dan tidak pernah menghisap rokok atau minum arak.

Appaz hanya makan sayuran segar dari ladangnya sendiri dan daging yang dibeli di kampungnya yang terletak di kawasan terpencil di Guli, kawasan Pergunungan Caucasus, Russia.

Dilahirkan pada Mac 1896 ketika pemerintahan raja Russia terakhir, Tsar Nicholas II, Appaz menjadi gembala kambing seawal tujuh tahun dan menyertai Tentera Merah dalam perang saudara Russia pada 1917-1922.

Bagaimanapun, ketika berusia 45 tahun, Appaz dianggap terlalu tua untuk menyertai Perang Dunia Kedua dan dia akhirnya menjadi pemandu traktor.

Walaupun diisytiharkan sebagai lelaki Russia paling tua pada 2015, Appaz hanya bertutur dalam bahasa Ingush dan tidak pernah mempelajari bahasa Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 1:59 PM