PUCKETT ditahan sementara menunggu laporan bedah siasat isterinya. FOTO Agensi
Agensi

PHOENIX: Seorang lelaki membawa mayat isterinya yang hampir reput mengembara dalam sebuah kereta selama beberapa hari sebelum dia ditahan polis di sebuah lebuh raya di sini.

Mirror Online melaporkan, kereta yang dipandu Rodney Puckett, 70, ditahan polis pada Isnin lalu di sebuah sebuah lebuh raya di Elroy, Arizona kerana kesalahan lalu lintas.

Polis yang membuat pemeriksaan terkejut apabila menemui mayat isteri Puckett yang dikenali sebagai Linda, 74, yang hampir reput di tempat duduk hadapan dan terus menahan lelaki itu.

Ketika disoal-siasat Puckett memberitahu, isterinya meninggal dunia di sebuah hotel di Texas ketika mereka bercuti dan mengembara dengan menaiki kereta.

Dia kemudiannya meletakkan mayat isterinya di tempat duduk penumpang hadapan sebelum meneruskan pemanduan ke destinasi mereka.

Polis memberitahu, Puckett ditahan sementara menunggu laporan bedah siasat isterinya bagi mengetahui punca kematian wanita itu.

Puckett didakwa atas tuduhan menyembunyikan mayat dan berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 12:40 PM