RIBUAN orang juga memprotes di Srinagar termasuk bertempur dengan anggota keselamatan. FOTO: AFP
AFP

SRINAGAR: Penduduk Kashmir India membuat bantahan besar-besaran semalam selepas kejadian rogol membabitkan mangsa kanak-kanak berusia tiga tahun, dengan rusuhan mengakibatkan sekurang-kurangnya sedozen orang cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Rabu minggu lalu, seorang mekanik yang juga jiran keluarga mangsa dilaporkan memujuk kanak-kanak itu ke tandas sebuah sekolah berhampiran sebelum menyerangnya secara seksual. Tertuduh dipercayai berusia 20 tahun sudah ditahan.

Bagaimanapun, semalam khabar angin tersebar mengatakan guru besar sekolah lain mengeluarkan sijil mengatakan tertuduh adalah bawah umur, seterusnya mencetuskan kemarahan yang membawa kepada bantahan di sekitar lembah Kashmir.

Sekurang-kurangnya sedozen orang termasuk anggota keselamatan cedera apabila gas pemedih mata dan senapang angin digunakan untuk meredakan bantahan di kebanyakan pekan di wilayah itu, kata pegawai polis kanan Swayam Prakash Pani kepada AFP.

“Seorang mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal. Kami juga sudah mendaftarkan kes berasingan terhadap guru besar terbabit dan dia kini ditahan untuk soal siasat,” katanya.

Ribuan orang juga memprotes di Srinagar termasuk bertempur dengan anggota keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:52 PM