GAMBAR dirakam penumpang menunjukkan pesawat penerbangan UB103 Myanmar National Airlines terhenti selepas mendarat tanpa tayar depan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, Myanmar, semalam. FOTO Reuters
Agensi

YANGON: Juruterbang berjaya mendaratkan pesawat penumpang tanpa tayar depan semalam, selepas tayar pesawat Myanmar National Airlines itu gagal dikeluarkan, semalam.

Juruterbang terbabit, Kapten Myat Moe Aung turut dipuji kerana berjaya mendaratkan pesawat Embraer 190 itu dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, semalam,.

“Juruterbang melakukan pendaratan terbaik,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi, Win Khant.

Tiada penumpang dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Menurut kenyataan Myanmar National Airlines, pesawat terbabit berlepas dari bandar Yangon dan menghampiri lapangan terbang itu apabila juruterbang mendapati tayar gagal dikeluarkan.

Pesawat itu berlegar dua kali bagi membolehkan pengawal trafik udara memeriksa sama ada roda itu sudah dikeluarkan atau tidak.

“Kapten kemudian mengikuti prosedur kecemasan, termasuk pembakaran bahan api bagi mengurangkan minyak agar tidak berat ketika mendarat,” kata kenyataan itu.

Rakaman video menunjukkan pesawat terbabit mendarat dengan tayar belakang sebelum menurunkan muncung dan bergerak beberapa ketika dengan muncung bergesel landasan sebelum berhenti.

Syarikat itu bagaimanapun tidak menjelaskan berapa ramai penumpang yang menaiki pesawat itu namun laman web menyatakan ia mempunyai kapasiti antara 96 hingga 114 tempat duduk.

Ia insiden kedua membabitkan pesawat di Myanmar selepas pesawat Biman Bangladesh Airlines tergelincir dari landasan ketika angin kuat di Yangon Rabu lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penumpang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 7:48 AM