AMERIKA dilapor menghantar kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln selain skuadron pesawat pengebom B-52 ke Asia Barat berikutan ketegangan dengan Iran. FOTO EPA
Agensi

TEHERAN: Iran memutuskan untuk meneruskan memperkaya uranium peringkat tinggi jika kuasa dunia yang terbabit dalam perjanjian nuklear 2015 tidak mengotakan janji.

AFP melaporkan, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata, negara yang masih ada dalam perjanjian terbabit iaitu United Kingdom, Perancis, Jerman, China dan Russia mempunyai masa 60 hari untuk melaksanakan janji melindungi minyak Iran dan sektor perbankan daripada sekatan Amerika Syarikat.

Langkah Iran itu diambil setahun selepas Presiden Amerika, Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian berkenaan dan selepas itu, melaksanakan kembali sekatan ekonomi terhadap Iran meskipun Teheran mematuhi syarat dalam perjanjian yang disahkan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam surat kepada duta negara terbabit, Iran menyatakan ia akan menarik balik janjinya dalam perjanjian itu.

Kementerian Luar Iran dalam kenyataan berkata: “Keputusan majlis tertinggi keselamatan untuk ‘menghentikan janji Republik Islam Iran dalam JCPOA (perjanjian nuklear)’ sudah disampaikan kepada ketua negara yang terbabit.’”

Dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Rouhani berkata, Iran akan menyimpan uranium diperkaya itu, bukan menjualnya seperti dalam perjanjian.

Iran sebelum ini, memberi amaran negara itu mungkin meneruskan memperkaya uranium yang membawa kepada penarikan Teheran daripada perjanjian berkenaan selepas setahun berusaha menyelamatkan perjanjian itu bersama negara Eropah.

Dalam temuramah dengan Al Jazeera, pakar akademik dari Universiti Teheran, Mohammed Marandi berkata: “Ketika era Obama, Amerika tidak melaksanakan perjanjian namun ketika era Trump, Amerika menjadi amat melampau, ‘mengoyakkan’ perjanjian itu.

“Negara Eropah pula memberi janji dan kata manis namun mengikut telunjuk Trump.”

“Jadi, Iran memutuskan ia tidak boleh berterusan seperti ini, setahun menunggu sejak Amerika menarik diri daripada perjanjian dan menunggu Eropah menunaikan janji.

“Kini Iran perlu bertindak kerana sedar Eropah hanya berdiam diri.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:11 AM