NICOLINA bersama bayi lelakinya, Tobias seberat 6 kilogram. - Agensi
Agensi

WELLINGTON: Seorang wanita berusia 33 tahun melahirkan bayi lelakinya yang berat hampir 6 kilogram (kg) secara semula jadi tanpa suntikan epidural di Hospital Waikato, New Zealand.

Daily Mail melaporkan, Nicolina Newcombe dan suaminya, Jamie, 27, terkejut dengan kelahiran bayi baru mereka, Tobias pada minggu lalu yang beratnya menyamai bayi berusia tiga bulan.

Bidan Nicolina, Anneka Reid menggambarkan Tobias seperti ‘bayi Hercules’ dan tidak pernah melihat bayi seberat itu dilahirkan secara semula jadi sepanjang kerjayanya.

“Bayi itu sangat berat ketika saya menyambutnya keluar,” kata Anneka kepada syarikat penerbitan Stuff.

TOBIAS dilahirkan secara normal tanpa pembedahan Caesarean. - Agensi

Anak sulung pasangan itu, Sage, 14, dilahirkan seberat 1.9 kg jauh lebih ringan berbanding adiknya.

Nicolina berkata: “Saya terpaksa mengambil gas dan suntikan remifentanil tetapi bukan epidural.

“Ia agak mengujakan kerana tidak mengetahui berat sebenar bayi kerana jika sebaliknya saya pasti menghadapi tekanan dengan pembedahan Caesarean,” katanya selepas berat sebenar bayinya diketahui ketika di dewan bersalin.

Pesakit diabetes hamil berpeluang melahirkan bayi lebih besar tetapi Nicolina disahkan negatif justeru, doktor menganggap ketinggian Nicolina 175 sentimeter sebagai penyumbang berat badan bayinya berbanding bentuk fizikal suaminya yang kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:42 AM