GAMBAR Hiasan.
Agensi

NEW DELHI: Seorang wanita dibelasah suaminya kerana mengundi untuk parti pemerintah, Bharatiya Janata (BJP) sedangkan sudah diarahkan memilih Parti Kongres di Jharkhand.

Menurut polis, Sahana Khatoon diarahkan suaminya, Kudus Ansari supaya mengundi Parti Kongres di kawasan Lohardaga Lok Sabha pada 29 April lalu, namun wanita itu yang kagum dengan polisi BJP memilih parti berkenaan.

Dia kemudian menceritakan perkara itu kepada rakannya di kampung yang memaklumkan suami dan semua penduduk lain menyebabkan Sahana turut dikutuk orang ramai yang menganggapnya tidak layak terus berada di situ, lapor Gulf News.

Suaminya yang turut mempertikaikan tindakannya berang apabila Sahana mengaku itu pilihannya menyebabkan dia dipukul, malah turut dibantu seorang penduduk lain. Sahana kemudian pulang ke rumah ibu bapanya tetapi membuat laporan polis sehari kemudian, lapor Opindia.com.

Susulan itu, polis mengesahkan menerima laporan dan sedang menyiasat kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 10:54 PM