LELAKI Palestin berjalan disekitar runtuhan bangunan kesan serangan Israel. FOTO: AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Israel membunuh seorang pemerintah tentera Hamas dalam serangan ‘tepat’ di Semenanjung Gaza hari ini, serangan pertama seumpama itu sejak berakhirnya perang Israel-Palestin di Gaza pada 2014.

Reuters melaporkan, menurut kenyataan tentera Israel, Hamed Ahmed Abed Khudri, bertanggungjawab memindahkan dana dari Iran kepada kumpulan bersenjata di Gaza.

Menurut saksi Palestin, mangsa terbunuh akibat serangan udara yang menyasar kenderaan dinaikinya.

Sementara itu, AFP melaporkan ketegangan pertempuran Israel - Palestin memuncak apabila tentera Israel mengesahkan dua terbunuh akibat serangan roket Palestin di bandar Ashkelon, hari ini.

Menurut polis Israel, bedilan roket itu mengenai kawasan industri dekat sempadan Gaza namun tidak menyatakan warganegara mangsa yang terbunuh itu.

Sebelum ini, enam penduduk Palestin, termasuk seorang wanita hamil dan bayinya berusia 14 bulan serta dua pejuang Palestin terbunuh akibat bedilan Israel. Seorang rakyat Israel juga mati hari ini, selepas cedera akibat serangan roket semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 9:14 PM