FOTO AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Seorang lelaki Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, sehari selepas empat yang lain maut termasuk mangsa yang menyertai bantahan mingguan dengan ketegangan sekali lagi memuncak antara tentera Israel dan pejuang Gaza.

Al Jazeera melaporkan, Imad Nseir, 22, terbunuh di Beit Hanoun selepas jet perang Israel menyasarkan pelbagai kawasan di Gaza pada pagi Sabtu, susulan puluhan roket dilepaskan ke selatan Israel.

Ketegangan terbaru ini susulan tentera Israel membunuh empat orang Palestin dalam dua kejadian berasingan, kelmarin.

Portal berita itu melaporkan, tembakan roket dari Gaza dilancarkan sehari selepas serangan dron Israel di utara kawasan itu pada awal pagi semalam yang mencederakan tiga orang.

Sementara itu, AFP memetik tentera Zionis melaporkan, pejuang Hamas melepaskan lebih 90 roket ke pekan dan bandar di Israel.

Kelmarin, dua pejuang Hamas terbunuh dalam serangan udara yang didakwa tentera Israel adalah pembalasan kerana tembakan dari Gaza yang mencederakan dua askarnya di sempadan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, dua lagi penduduk Palestin yang ditembak Jumaat lalu ketika menyertai protes mingguan di sempadan meninggal dunia akibat kecederaan mereka, semalam.

Jurucakap Hamas, Abdel-Latif al-Qanoua berkata dalam satu kenyataan: “Pihak penentang akan terus bertindak balas terhadap jenayah dilaksanakan penjajah dan tidak akan membenarkan pertumpahan darah orang Palestin.”

Pihak berkuasa Gaza berkata, empat orang Palestin cedera dalam satu daripada serangan udara dilakukan Israel. Tiada laporan mengenai mangsa yang cedera atau maut di Israel.

Kementerian Pendidikan Palestin turut mengosongkan sekolah di kawasan terbabit.

Ketegangan tercetus beberapa hari menjelang Ramadan dan sambutan Hari Kemerdekaan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 8:53 AM