WATSON
Agensi

Des Moines (Amerika Syarikat): Kuah sup yang tertumpah di atas komputer riba menjadi punca seorang lelaki berdepan hukuman penjara selepas fail yang mengandungi bahan lucah kanak-kanak ditemui dalam peralatan elektronik berkenaan.

Robert Watson, 54, yang berasal dari bandar ini ditahan Selasa lalu atas 10 tuduhan memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Mail Online melaporkan, lelaki itu kini ditahan di penjara Polk County kerana masih belum membayar ikat jamin berjumlah AS$50,000 (RM207,144).

Menurut laporan Des Moines Register, nasib malang Watson bermula apabila dia tertumpah kuah sup di atas komputer riba miliknya menyebabkan peralatan elektronik itu rosak.

Dia kemudiannya membeli sebuah komputer riba baru di sebuah kedai elektronik dan meminta juruteknik memindahkan fail daripada komputer riba lama ke dalam komputer barunya.

Ketika memindahkan fail berkenaan, juruteknik di kedai berkenaan terlihat beberapa fail di dalam komputer riba Watson yang mereka syaki mengandungi bahan lucah kanak-kanak.

Juruteknik berkenaan bertindak menghubungi polis yang kemudiannya datang ke kedai itu dan merampas kedua-dua komputer riba milik lelaki berkenaan sebagai bukti.

Ketika disoal siasat, Watson mengaku memuat turun sejumlah gambar lucah kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun.

Watson memberi alasan dia menyimpan gambar berkenaan untuk memberi kesedaran kepada orang lain mengenai aktiviti seperti itu.

Menurut laporan itu, Watson akan dibicarakan di mahkamah pada 10 Mei ini dan dia berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 7:55 AM