GAMBAR Hiasan.
Reuters

CHENNAI: Pihak berkuasa di selatan India menyelamatkan puluhan hamba yang dikerah menjadi buruh ladang selepas pekerja kempen kesedaran memaklumkan pihak berkuasa bahawa mereka dilarang mengundi dalam pilihan raya umum.

Pekerja kempen kesedaran itu berkata mereka sedang berusaha memastikan orang ramai keluar mengundi, namun menyedari ada pekerja dari negeri lain tidak pulang ke tempat asal untuk berbuat demikian lalu memaklumkan pihak berkuasa.

Susulan itu, 39 orang yang ditahan seperti hamba sejak setahun lalu di sebuah ladang di Tamil Nadu diselamatkan, termasuk 17 kanak-kanak, kata pihak berkuasa kepada Reuters.

Pegawai kerajaan Dhandayuthanpani Somasundaram yang mengetuai usaha menyelamat berkata: “Pekerja berkenaan berkata, pemilik ladang berjanji membenarkan mereka pulang ke kampung untuk mengundi tetapi kemudian memungkirinya.”

India mengharamkan penghambaan pada 1976, namun ia antara bentuk pemerdagangan manusia paling berleluasa di negara itu apabila majikan dan ejen masih menipu orang untuk bekerja tanpa gaji sama ada di ladang, kilang bata malah juga sebagai pelacur atau pembantu rumah untuk melunaskan hutang.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Solidariti Adivasi Kebangsaan, Kandasamy Krishnan yang memperjuangkan hak puak berkata, siasatan pasukannya menemui ladang tebu serta pisang yang menggunakan tenaga hamba, termasuk membabitkan keluarga.

Somasundaram berkata, setiap keluarga menanggung hutang 25,000 rupee (RM1,500) dan tidak dibenarkan meninggalkan ladang sekalipun untuk mengundi dalam proses berperingkat diadakan dari 11 April lalu sehingga 19 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:02 PM