VAJIRALONGKORN umum Suthida sebagai permaisurinya yang sah. FOTO: AFP
Reuters

BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, mengumumkan Jeneral Suthida Vajiralongkorn sebagai permaisuri beberapa hari sebelum upacara pertabalannya pada 4 hingga 6 Mei ini.

Pengumuman itu yang disiarkan Jurnal Diraja semalam, menyatakan Raja Vajiralongkorn, 66 tahun, sudah berkahwin dengan Suthida.

Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran Raja Rama X, mewarisi takhta Thailand selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016, selepas 70 tahun bertakhta.

Pada 2014, Vajiralongkorn melantik Suthida Tidjai, bekas pramugari Thai Airways sebagai timbalan pemerintah unit pengawal peribadinya ketika beliau masih putera mahkota.

Pemerhati keluarga diraja dan media asing pernah mengaitkan hubungan romantik Suthida dengan raja itu namun pihak istana tidak pernah mengakuinya.

Raja Vajiralongkorn menjadikan Suthida sebagai jeneral pada Disember 2016, dan timbalan pemerintah pasukan pengawal peribadi raja pada 2017. Baginda juga menganugerahkan taraf kerabat diraja melaui gelaran ‘Thanpuying’ kepada Suthida.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:02 PM