FOTO Reuters.
AFP

COLOMBO: Seramai 42 daripada 253 mangsa yang terbunuh dalam insiden serangan bom di Sri Lanka dikenal pasti sebagai rakyat asing, kata pihak berkuasa hari ini.

AFP yang memetik kenyataan Kementerian Luar berkata, mangsa paling ramai membabitkan rakyat India iaitu 11 orang diikuti dengan Britain (6), China (4) dan Denmark (3).

Menurutnya, terdapat 12 lagi rakyat asing yang tidak dapat dikesan dan kemungkinan besar mayat mangsa masih ditempatkan di rumah mayat dan identiti mereka belum dikenal pasti.

Manakala lima mangsa rakyat asing yang cedera dilaporkan masih dirawat di hospital selepas kejadian pada 21 April lalu itu.

Pihak berkuasa kesihatan menjelaskan, proses mengenal pasti identiti mangsa terlalu sukar disebabkan keadaan mayat yang hancur.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan mangsa yang terbunuh membabitkan rakyat asing dari 40 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 2:24 PM