ANGGOTA keselamatan menembak 4 disyaki Daish. FOTO/AFP
AFP

COLOMBO: Empat lelaki disyaki militan Daish terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pasukan tentera Sri Lanka di bandar Kalmunai.

Penembak melepaskan tembakan apabila pasukan keselamatan menyerbu sebuah rumah perlindungan di bandar itu, kata jurucakap tentera Sumith Atapattu, hari ini.

“Dua penembak maut apabila tentera balas serangan mereka,” katanya yang menambah seorang awam turut terbunuh dalam kejadian itu.

AFP memetik kenyataan polis melaporkan, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui empat mayat lelaki disyaki pengebom berani maut.

Polis turut mengesahkan seorang awam maut manakala tiga cedera.

Kata polis, pihaknya menemui bendera Daish serta pakaian seragam mirip dengan pakaian lapan pejuang dalam video yang dikeluarkan selepas siri serangan di hotel dan gereja Sri Lanka.

“Kami menemui latar belakang yang digunakan kumpulan itu untuk rakam video mereka,” kata polis dalam kenyataan, semalam.

Kumpulan Daish mengeluarkan video itu dua hari selepas kejadian serangan yang membunuh 253 orang.

Polis menunjukkan pakaian, bendera, 150 dinamit dan 100,000 ‘ball bearing’ yang dirampas dari rumah itu di televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:32 AM