PAMELA
AFP

MARSEILLE: Bekas bintang siri Baywatch, Pamela Anderson, berang apabila meninggalkan majlis mengutip derma bola sepak di Marseille kerana 100,000 euro (RM461,000) daripada sumbangan adalah untuk Gereja Notre-Dame yang rosak akibat kebakaran berbanding untuk kanak-kanak di bandar raya berkenaan.

Majlis malam kelmarin, anjuran kelab bola sepak Perancis, Olympique Marseille bertujuan mengutip sumbangan untuk kanak-kanak yang memerlukan.

Namun keputusan menyalurkan 100,000 euro kepada Notre-Dame di Paris yang rosak teruk dalam kebakaran awal minggu lalu, mengundang kritikan Anderson semalam.

“Semalam, kami menghadiri majlis tahunan @OM untuk mengutip wang bagi mereka yang memerlukan di Marseille - niat baik mengutip sebanyak mungkin untuk tujuan murni.

“Kejutan besar berlaku apabila ada kutipan wang bagi pembinaan semula Notre-Dame???” tulisnya melalui Twitter.

Pamela menambah: “Sudah pasti kanak-kanak yang menderita di Marseille boleh menggunakan 100,000 euro itu berbanding lebih satu bilion yang sudah didermakan untuk gereja terbabit.

“Saya harap mereka menimbang semula dan berikan kepada yang lebih memerlukan, kepada komuniti di Marseille yang sepatutnya menerima sumbangan itu,” katanya.

Pelakon dan model berusia 51 tahun itu menghadiri majlis berkenaan dengan pasangannya, Adil Rami yang bermain di posisi pertahanan untuk Olympique Marseille.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:43 AM