NAMA dan gambar penghutang dipaparkan pada skrin tayangan filem Avengers: Endgame di Lishui, Wilayah Zheijiang.
Agensi

BEIJING: Peminjam yang liat membayar hutang dimalukan di pawagam apabila nama dan gambar mereka dipaparkan pada skrin tayangan ketika orang ramai hadir untuk menonton filem Avengers: Endgame di Lishui, Wilayah Zheijiang.

South China Morning Post melaporkan, tindakan itu dilakukan Mahkamah Daerah Liandu sebagai cara untuk mendesak peminjam terbabit supaya melunaskan hutang masing-masing.

Satu klip video pendek ditayangkan di pawagam terbabit dengan memaparkan 60 nama peminjam bersama jumlah wang yang dipinjam.

Ia turut menerangkan tindakan yang akan dikenakan sekiranya gagal membayar hutang seperti larangan ke luar negara, nama akan disenarai hitam dan didedahkan oleh media.

Sejak langkah drastik itu dilaksanakan, pihak berkuasa China sudah mendedahkan 5,478 nama peminjam yang menyebabkan lebih 80 orang tampil untuk membayar hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:10 PM