PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan puluhan mangsa dikhuatiri tertimbus bawah sebuah bangunan yang runtuh di Manila akibat gempa bumi semalam. FOTO AFP
AFP

PORAC, FILIPINA: Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan puluhan mangsa dikhuatiri tertimbus bawah sebuah bangunan yang runtuh di Manila akibat gempa bumi semalam.

Jumlah mangsa terkorban setakat ini meningkat kepada 11 orang, lapor AFP.

Gempa sekuat 6.3 magnitud yang melanda barat laut Manila turut menyebabkan sebuah lapangan terbang rosak teruk.

Kerosakan paling teruk berlaku di wilayah Pampanga yang mana 11 orang maut manakala ramai lagi cedera akibat runtuhan.

Jumlah mangsa dijangka meningkat apabila pihak berkuasa meninjau ke kawasan pedalaman yang terputus hubungan komunikasi dan bekalan elektrik.

Gabenor Pampanga, Lilia Pineda memberitahu wartawan, jentera digunakan untuk mengeluarkan sekitar 30 mangsa yang terperangkap dalam sebuah bangunan empat tingkat di Porac.

“Penyelamat dimaklumkan sekurang-kurangnya seorang mangsa masih hidup dan dia terperangkap di bawah runtuhan konkrit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:02 AM