PEGAWAI Skuad Bom Pasukan Petugas Khas memeriksa lokasi berhampiran gereja di mana sebuah bom meletup ketika fiusnya ditanggalkan. FOTO Reuters
Agensi

Colombo: Pihak berkuasa Sri Lanka mengisytiharkan darurat manakala 24 orang ditahan untuk siasatan serangan bom di beberapa gereja dan hotel mewah negara itu yang meragut sekurang-kurangnya 290 nyawa termasuk rakyat asing serta mencederakan kira-kira 500 yang lain.

Undang-undang darurat yang memberi polis dan tentera kuasa meluas untuk menahan serta menyoal suspek tanpa perintah mahkamah, berkuat kuasa tengah malam Isnin, kata pejabat presiden.

Kerajaan turut mengenakan perintah berkurung mulai jam 8 malam semalam.

Kerajaan percaya kumpulan ekstremis tempatan, National Thowheeth Jama’ath (NTJ) bertanggungjawab untuk kejadian itu, kata jurucakapnya, Rajitha Senaratne.

Menurutnya, kerajaan turut menyiasat sama ada kumpulan itu mendapat ‘sokongan luar’ untuk melaksanakan serangan berkenaan.

“Tidak mungkin organisasi kecil mampu melakukan serangan seperti itu. Kami kini menyiasat sokongan luar yang mungkin diterima. Bagaimana mereka mempunyai bahan letupan dan pengebom bunuh diri seperti itu di sini,” katanya.

Reuters memetik pakar antipengganas antarabangsa yang menganggap serangan turut membabitkan al-Qaeda atau Daish jika melihat kepada cara ia dilaksanakan.



Semalam, satu letupan berlaku berhampiran sebuah gereja ketika polis menanggalkan fiusnya. Pada masa sama, polis turut menemui 87 peledak bom di stesen bas utama Colombo.

Sementara itu, AFP melaporkan, ketua polis Sri Lanka mengeluarkan amaran pada 11 April lalu terhadap pegawai kanannya memetik ‘agensi risikan antarabangsa’ berkata, NTJ merancang serangan terhadap gereja dan Suruhanjaya Tinggi India.

Susulan itu, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, siasatan akan dilakukan untuk melihat kenapa langkah berjaga-jaga tidak diambil.

Pemimpin Islam Sri Lanka menggesa ‘hukuman maksimum’ untuk pengebom bunuh diri terbabit.

“Kami menggesa kerajaan memberi perlindungan kepada semua lokasi keagamaan dan menghukum sekeras-kerasnya setiap orang yang terbabit dalam kejadian itu.

“Bagi pihak masyarakat Muslim Sri Lanka, kami mengucapkan takziah kepada rakan kami beragama Kristian dan menghulurkan persahabatan kami sebagai tanda solidariti,” kata Majlis Ulama Jamiyyathuul Ceylon.

Serangan itu antara yang terburuk terhadap golongan Kristian Sri Lanka yang hanya merangkumi tujuh peratus daripada 21 juta penduduknya.

Sekurang-kurangnya 37 rakyat asing antara yang terbunuh termasuk dari India, Britain, Turki, Australia, Jepun dan Portugal. Antaranya termasuk tiga anak seorang bilionair terkaya Denmark, Anders Holch Povlsen yang bercuti di negara itu sempena Easter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 11:01 AM