ANGGOTA polis memeriksa lokasi serangan bom di gereja St Sebastian di Negombo, utara Colombo. FOTO AFP
Agensi

COLOMBO: Sri Lanka digegarkan dengan lapan serangan bom semalam ketika penduduk beragama Kristian di negara itu menyambut Hari Easter menyebabkan kira-kira 207 mangsa terbunuh dan lebih 400 lagi cedera.

Polis memberitahu, serangan bom itu berlaku di tiga buah gereja yang penuh dengan pengunjung, empat hotel mewah dan sebuah rumah.

Serangan pertama dilaporkan berlaku pada waktu pagi di gereja St Anthony di Colombo dan gereja St Sebastian di Negombo di pinggir ibu kota Sri Lanka.

Seorang jurugambar AFP yang berada di gereja St Anthony melaporkan melihat mayat yang berlumuran darah bergelimpangan di lantai.

Letupan yang kuat itu menyebabkan sebahagian bumbung gereja itu tercabut dengan serpihan kaca, kayu dan jubin berselerakan.

Tidak lama selepas itu, polis mengesahkan tiga hotel mewah di Colombo dan sebuah gereja di Batticaloa, timur Sri Lanka turut menjadi sasaran serangan bom.

Tiga hotel yang menjadi sasaran serangan adalah Cinnamon Grand di mana seorang dilaporkan terbunuh, Shangri-La Colombo dan Hotel Kingsbury.

Seorang pekerja di Hotel Cinnamon Grand memberitahu, serangan berlaku di restoran yang penuh dengan pelanggan yang mahu bersarapan.

“Seorang lelaki memotong barisan pelanggan yang berbaris mengambil makanan dan meletupkan bom yang dibawanya,” katanya.

Pada awal tengah hari polis memberitahu satu lagi letupan berlaku di sebuah hotel berhampiran zoo negara di Dehiwela.

Letupan kelapan berlaku apabila seorang lelaki meletupkan bahan letupan pada badannya ketika polis memeriksa sebuah rumah di pinggir Colombo menyebabkan tiga anggota polis terkorban.

Polis juga dilaporkan menahan seramai tujuh orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan serangan berkenaan.

Sumber hospital memberitahu, sekurang-kurangnya warga asing termasuk dari Amerika Syarikat, Britain dan Belanda turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 9:00 AM